Pemaparan watak Hang Tuah dalam Filem Melayu - Kajian PITA
Pemaparan watak Hang Tuah dapat dilihat melalui filem Melayu seperti Magika (2010), Puteri Gunung Ledang (2004), Filem Hang Tuah (1956), Filem XXRay II (1995) dan sebagainya dimana telah memaparkan watak Hang Tuah di dalam cerita tersebut. Pemaparan watak Hang Tuah dalam filem-filem Melayu seolah-olah ingin melambangkan tentang kehidupan masyarakat Melayu pada zaman feudal. Di dalam Hikayat Hang Tuah, perwatakan Hang Tuah sememangnya digambarkan seorang yang mempunyai sifat keberanian, penuh dengan sifat kesetiaan, kepintaran dan kebijaksanaan. Sebagai contoh dalam setiap peristiwa dalam Hikayat Hang Tuah menggambarkan Hang Tuah sebagai tokoh yang sentiasa mencurahkan segala daya dan nyawa demi kesetiaannya kepada raja. Hang Tuah sanggup menjadi pelindung kepada raja, sanggup melarikan Tun Teja, tunangan orang untuk dipersembahkan kepada raja, bersedia menjadi ‘diplomat’ (hlmn. 435), rela pura-pura mati untuk masuk ke dalam kubur (hlm. 538) dan pengorbanan paling besar ialah kesanggupannya membunuh Jebat, sahabat-saudaranya sendiri. Pendek kata, taat setianya kepada raja tidak berbelah bahagi. Tidak dapat disangkalkan lagi bahawa watak Hang Tuah seringkali diadaptasi oleh pengarah dalam filem-filem Melayu. Perwatakan Hang Tuah yang diadaptasi seringkali menjadi tanda tanya sama ada betul atau tidak jika merujuk kepada perwatakan Hang Tuah dalam teks Hikayat Hang Tuah. Hal ini kerana, terdapat beberapa perwatakan Hang Tuah dalam filem Melayu tidak menepati dengan teks Hikayat Hang Tuah.
Mohd. Arif Atan (2012: 13) menyatakan imej Hang Tuah dalam beberapa filem tempatan perlu diteliti semula dengan melihat sejauh perwatakan Hang Tuah telah diadaptasi sama ada menyamai atau lari daripada citra sebenar Hang Tuah seperti yang terkandung dalam teks Hikayat Hang Tuah (1964). Selain itu, Siti Hawa Haji Salleh (2006: 23) mempersoalkan tentang kesan yang akan timbul di hati penonton apabila melihat Hang Tuah menghempaskan badannya dan berguling-guling di atas pantai apabila dia gagal menemui Puteri Gunung Ledang di puncak Gunung Ledang. Watak Hang Tuah ini telah diadaptasi ke dalam filem-filem Melayu. Hang Tuah dalam teks Hikayat Hang Tuah digambarkan seorang yang begitu setia, bijaksana dan mempunyai sifat keberanian yang tinggi secara umumnya. Pemaparan watak Hang Tuah dalam filem Melayu ada yang mengikut perwatakan sebenar Hang Tuah seperti terkandung dalam Hikayat Hang Tuah. Namun begitu , terdapat juga percanggahan di dalam filem Melayu ini mahupun tidak kesahihan terhadap perwatakan Hang Tuah. Hal ini kerana, perwatakan Hang Tuah dalam filem-filem Melayu digambarkan pelbagai wataknya seperti Hang Tuah yang digambarkan seorang setia pada rajanya sehingga sanggup membunuh sahabatnya sendiri iaitu Hang Jebat di dalam filem Hang Jebat (1961) , malah berbeza perwatakan Hang Tuah dalam filem Magika (2010) dimana Hang Tuah digambarkan seorang penakut terhadap anjing. Pemaparan perwatakan ini sememangnya tidak digambarkan dalam teks Hikayat Hang Tuah kerana Hang Tuah adalah seorang pahlawan yang gagah berani dan tidak mungkin seorang pahlawan akan takut pada seekor anjing. Melalui perwatakan Hang Tuah yang berbeza dalam filem-filem Melayu, dapat kita lihat pengarah filem membuat tafsiran yang berbeza-beza terhadap watak Hang Tuah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan