KUIZ: Kenali diri ‘anda’ yang sebenar dengan 10 soalan
Airil Haimi Adnan untuk Majalah ‘EH!’, segmen ‘Kuiz’, 2004
Sediakan pen dan kertas untuk menulis jawapan anda berdasarkan soalan di bawah. Siap ?
Sekarang baca 10 soalan di bawah dan jawab dengan
seikhlas yang boleh. Anda tidak boleh berfikir terlalu lama untuk mencari
jawapan, dan pilihlah perkara pertama yang akan terlintas di fikiran anda. Oh
ya, anda juga harus menjawab semua soalan ini mengikut turutan dari yang
pertama hinggalah yang kesepuluh. Ingat, jangan menipu diri sendiri dengan
mencari rasional jawapan anda terlebih dahulu. Kalau sudah bersedia mari kita
mulakan, anda hanya perlu membayangkan soalan yang diberi dan menjawab secepat
yang boleh:
10 soalan tentang diri anda
1. Anda sedang berjalan dengan seseorang di dalam sebuah
hutan yang sunyi. Siapakah yang sedang berjalan dengan anda?
2. Anda sedang berjalan seorang diri di dalam sebuah hutan
dan anda ternampak seekor haiwan. Apakah haiwan yang anda nampak?
3. Jika anda boleh berinteraksi dengan haiwan itu, apakah
soalan-soalan yang akan ditanya?
4. Anda berjalan semakin jauh ke dalam hutan yang sunyi itu
dan tiba-tiba anda terlihat sebuah rumah yang cantik yang menjadi idaman hati
anda. Ceritakan tentang rumah itu dari segi saiznya.
5. Adakah rumah idaman hati anda itu dikelilingi dengan
pagar?
6. Anda pun masuk ke rumah itu dan ternampak sebuah meja
makan. Cuba anda ceritakan apa yang anda lihat di atas dan di sekeliling meja
makan itu.
7. Kemudian anda keluar dari rumah itu melalui pintu
belakang. Di atas rumput kelihatan sebuah cawan. Ianya diperbuat daripada apa?
8. Apakah reaksi anda dan apa pula yang anda lakukan dengan
cawan itu?
9. Kerana sudah bosan, anda pun bergerak ke hujung kawasan
rumah itu di mana anda telah bertemu dengan air. Dari manakah datangnya
(asalnya) air itu?
10. Bagaimanakah caranya anda akan melangkah untuk meredah
air itu (jika perlu diredah)?
Percaya atau tidak, 10 Soalan yang saya berikan tadi adalah
berdasarkan ujian Psikologi yang dikenali sebagai Ujian ‘Relational Values’.
Ini bermakna, semua soalan tadi adalah berkaitan dengan nilai-nilai dan perkara
materialistik yang anda pentingkan di dalam hidup anda. Saya sertakan analisis
penuh setiap soalan untuk tatapan anda.
Sudahkah anda dapat mengenali diri anda
sekarang?
Analisis 10 soalan di atas, berdasarkan jawapan anda tadi…
1. Si dia yang sedang berjalan dengan anda itu adalah di
antara orang yang paling penting dan paling anda percayai dalam hidup hingga
setakat ini.
2. Saiz haiwan yang anda nampak itu adalah berkaitan dengan
persepsi anda tentang masalah-masalah yang sedang anda hadapi dalam hidup.
3. Proses interaksi anda dengan haiwan itu sebenarnya
melambangkan cara anda sedang menangani masalah-masalah yang anda hadapi
(contohnya amat agresif, selalu pasif atau tidak ambil hirau, dll).
4. Saiz rumah idaman anda itu adalah berkaitan dengan
kemahuan anda untuk menyelesaikan segala masalah yang sedang anda hadapi.
5. Jika anda tidak ‘memagari’ rumah anda itu, bermakna anda
seorang individu yang berpersonaliti terbuka dan anda menerima kritikan dan
pendapat orang lain dalam hidup. Jika rumah itu ‘dipagar’, ianya bermakna
personaliti anda agak tertutup dan anda suka berahsia lebih-lebih lagi tentang
masalah, dilema atau konflik yang terpaksa anda hadapi.
6. Jika jawapan anda untuk soalan ini tidak berkaitan dengan
makanan dan minuman, bunga-bungaan dan barang perhiasan atau tentang manusia
serta individu lain – Ini bermakna dalam hidup, anda seorang yang lebih cenderung
untuk murung dan rungsing.
7. Cawan yang anda jumpai itu adalah berkaitan dengan
hubungan anda dan individu yang anda senaraikan dalam Soalan Pertama. Jadi,
jika cawan yang anda jumpai itu diperbuat dari plastik dan bukannya besi – Ini
bermakna perhubungan anda dan individu itu kurang kukuh dan mudah retak, dan
sebaliknya (berpandukan dari apa cawan itu diperbuat).
8. Reaksi dan tindakan anda ke atas cawan itu sangat
berkaitan dengan attitude anda terhadap individu yang anda senaraikan dalam
Soalan Pertama.
9. Jika air itu datang dari dalam sebuah baldi ianya
bermakna kemahuan (spirit) anda dalam hidup adalah kecil, tapi jika air itu
datangnya dari sebuah lautan bermakna anda mempunyai kemahuan yang kuat untuk
hidup dan menikmati kehidupan yang sebenar. Anda harus membuat perbandingan
dari contoh ini.
10. Dan yang terakhir, jika anda langsung tidak basah ketika
melintasi air yang anda jumpa, ini bermakna kemahuan seksual tidak penting
dalam hidup anda. Jika anda basah kuyup pula, ahem, bermakna anda hidup untuk
seks dek nafsu yang sentiasa membara!